Welcome, visitor! [ Register | LoginRSS Feed  |   | 

Comments Off on Rancang Rumah Jadi Asrama

Rancang Rumah Jadi Asrama

| Buletin Hartanah | July 7, 2014

Rancang Rumah Jadi Asrama

Kuala Lumpur: SK Properties Sdn Bhd mengesyorkan pemilik kediaman atau pihak pengurusan hartanah perlu teliti dan mempunyai garis panduan dalam perancangan rumah dijadikan asrama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saufi Karim berkata, untuk menjadikan kediaman sebagai asrama, pemilik perlu menitikberatkan tiga sudut utama iaitu penyewa, tuan rumah dan kejiranan.

Katanya, terdapat beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum menjadikan kediaman sebagai asrama sama ada untuk pelajar ataupun pekerja.

“Semua penyewa memang menginginkan kadar sewa murah, terutama pelajar antara menginginkan sewa rendah dengan jumlah rakan penyewa ramai.

“Manakala, dari sudut tuan rumah pula, bayaran sekepala lebih menguntungkan berbanding sewakan kepada keluarga atau individu saja.

Jika dipertimbangkan mengenai kejiranan pula, komuniti menjadi hiruk-pikuk dengan keadaan rumah tak terurus,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, pemilik perlu mempunyai kontrak sewa untuk memastikan semua dalam keadaan selamat dan tidak mengganggu kejiranan.

Saufi berkata, kebanyakan negara juga membuat undang-undang mengharamkan penyewa dua keluarga dalam sebuah rumah, contohnya di Arab Emiriah Bersatu, Abu Dhabi dan Dubai.

“Di Australia pula, maksimum dua orang pelajar saja boleh menyewa sebuah bilik, tetapi kadar sewa di negara terbabit amat tinggi.

“Malaysia masih berada pada tahap harga sewa berpatutan dengan kadar pendapatan masing-masing.

Bagi saya pelajar atau penyewa perlu diingatkan dengan tahap keselesaan jika hendak belajar dengan baik,” katanya.

Sumber: Metro

964 total views, 0 today

Comments Off on Makan Gaji Pun Boleh

Makan Gaji Pun Boleh

| Buletin Hartanah | July 7, 2014

gaji

Kuala Lumpur: Apabila berbicara mengenai perniagaan hartanah, masih belum ramai individu di negara ini menceburi bidang terbabit kerana menganggap ia sebagai perniagaan yang memerlukan modal tinggi meskipun ia adalah sektor perniagaan menguntungkan kerana harga rumah sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Pengurus Urus Insan Sdn Bhd Zaidi Ismail berkata, persepsi terbabit perlu diubah kerana perniagaan hartanah sebenarnya boleh dilakukan tanpa perlu menggunakan simpanan wang atau gaji masing-masing.

“Saya sedar orang ramai masih melihat perniagaan hartanah sebagai sukar kerana berpendapat ia memerlukan rumah yang berkeadaan baik pada harga tinggi, namun mereka boleh melakukannya jika membeli rumah yang sesuai dengan pendapatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dengan purata pendapatan rendah boleh menceburi perniagaan hartanah di mana mereka boleh memiliki sehingga empat unit rumah dengan hanya melakukan pembiayaan perbankan dan pinjaman insurans.

Foto
ORANG ramai dengan purata pendapatan rendah turut boleh menceburi perniagaan hartanah yang pastinya mampu memberi keuntungan.

Sebelum melakukan pembelian, orang ramai perlu menilai dulu potensi dan nilai pulangan pelaburan bagi sesuatu unit di mana lokasi bukanlah diletak sebagai keutamaan dalam membeli hartanah terbabit.

Zaidi berkata, sewaan adalah kaedah paling tepat bagi individu yang ingin memulakan perniagaan hartanah ini kerana ia dilihat menjana lebih banyak pendapatan melalui pelbagai jenis sewaan.

“Pemilik hartanah boleh menjana pendapatan melalui tujuh jenis sewaan rumah berasaskan rumah, bilik, masa, bilangan penyewa, kemudahan dan sewa atas sewa di mana mereka boleh menggabungkan dua jenis sewaan atau lebih bagi setiap unit rumah,” katanya.

Beliau berkata, perniagaan hartanah melalui kaedah sewaan memiliki potensi besar untuk menjana pendapatan kerana sewaan juga boleh dilakukan berdasarkan demografi kawasan dan keperluan penyewa.

“Saya lihat tidak salah jika individu memiliki banyak rumah dan menyewakannya kepada orang ramai selagi mereka tidak menyalahi undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menjaga sensitiviti di kawasan kejiranan,” katanya.

Sumber: Utusan

1156 total views, 0 today

Comments Off on Ejen Hartanah Haram Kuasai 60% Transaksi

Ejen Hartanah Haram Kuasai 60% Transaksi

| Buletin Hartanah | June 26, 2014

Ejen hartanah haram kuasai 60 peratus transaksi

KUALA LUMPUR 25 Jun – Ejen hartanah haram menguasai sekitar 60 peratus atau RM91 bilion daripada keseluruhan transaksi pembelian hartanah yang direkodkan sepanjang 2013.

Pada tahun lalu, sebanyak 381,130 transaksi pembelian hartanah telah dicatatkan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM152 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, peningkatan permintaan hartanah sejak kebelakangan ini telah membuatkan sesiapa sahaja boleh mengambil kesempatan untuk menjadi ejen hartanah meskipun tidak mempunyai kelayakkan dan latihan.

Jelasnya, keadaan itu amat merisaukan kerana ejen hartanah haram ini boleh melaksanakan aktiviti pemasaran secara tidak beretika serta mengelirukan pembeli.

“Sejak tahun lalu, sesiapa sahaja boleh menjadi ejen hartanah (secara haram) tanpa sebarang kelayakkan. Laporan berhubung penipuan oleh ejen haram ini juga semakin meningkat,” katanya kepada pemberita pada program kempen kesedaran ejen dan perunding hartanah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Penilaian, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Faizan Abdul Rahman; Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia, Siva Shanker; Ahli Lembaga, Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah, Eric Lim.

Ejen hartanah haram jika didapati bersalah boleh dikenakan denda RM300,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981.

Dalam pada itu, Lim berkata, antara langkah awal yang boleh dilakukan pembeli semasa berhadapan ejen-ejen hartanah ialah bertanyakan kad pendaftaran ejen tersebut yang mengandungi pelbagai maklumat selain mengandungi kod respon pantas (Kod QR) yang boleh diimbas menggunakan telefon pintar bagi menyemak status mereka.

Shanker pula berkata, sebarang laporan mengenai penipuan ejen haram boleh dibuat kepada pihak polis kerana pertubuhan-pertubuhan berkaitan ejen hartanah tidak dibenarkan akta untuk mengambil tindakan ke atas ejen.

“Bagaimanapun, kami secara berterusan mengadakan kempen keselamatan kepada pembeli dan penjual hartanah agar menggunakan ejen-ejen yang sah kerana mereka tertakluk kepada peraturan yang tidak mengambil kesempatan ke atas pelanggan,” ujarnya.

Sumber: Utusan

992 total views, 1 today

Comments Off on PR1MA Perkenal Dua Mekanisme

PR1MA Perkenal Dua Mekanisme

| Buletin Hartanah | June 26, 2014

PR1MA perkenal dua mekanisme

ROMPIN 25 Jun – Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan melaksanakan dua mekanisme baharu yang membolehkan harga rumah di bawah program tersebut dijual tidak melebihi RM100,000.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, mekanisme pertama adalah menerusi pembinaan rumah model baharu yang bersesuaian dengan keperluan golongan muda baharu berkahwin dengan projek perintis bakal dilaksanakan di Teluk Intan, Perak pada tahun ini.

“Rumah PR1MA model baharu ini antara lain mempunyai ciri seperti tapak keluasan tanah 20 kaki x 70 kaki (6 meter x 21 meter) yang kita akan bina dengan sebuah bilik tidur, ruang tamu dan dapur kecil yang boleh diubah suai pada masa depan.

“Bagaimanapun kita membinanya mengikut pelan rumah yang mempunyai tiga bilik bagi membolehkan pembelinya melakukan pengubahsuaian apabila ahli keluarga mereka telah bertambah nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian zakat Kumpulan Teras Dara Konsortium (TDK) di sini hari ini.

Jamaluddin berkata, kajian menunjukkan orang muda atau mereka yang baharu berkahwin tidak memerlukan banyak bilik serta ruang yang besar dalam sesebuah rumah jadi, pihaknya boleh menyediakan rumah itu dengan harga murah.

“Maka kita memperkenalkan model baru ini bagi membolehkan lebih ramai golongan muda memiliki rumah dengan harga yang lebih murah. Mereka boleh ubah suai rumah ini nanti apabila memerlukannya dengan kos ditanggung sendiri pembeli,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mekanisme kedua pula adalah dengan membina rumah PR1MA di atas tanah rizab Melayu yang dapat membantu mengurangkan kos pembinaan rumah sehingga 50 peratus memandangkan harga tanah kategori tersebut adalah lebih murah.

“Ini sekali gus ini mengurangkan lagi harga rumah PR1MA yang dijual kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat Lembaga Pengarah PR1MA sebelum dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau dalam pada itu berkata, setakat ini PR1MA menerima 600,000 permohonan untuk mendapatkan rumah di bawah program itu.

“Sehingga kini pembinaan sebanyak 80,000 rumah PR1MA telah diluluskan daripada 500,000 yang disasar akan dibina dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Sumber: Utusan

973 total views, 0 today

Comments Off on Pembiayaan Patuh Syariah Lebih Telus

Pembiayaan Patuh Syariah Lebih Telus

| Buletin Hartanah | June 24, 2014

Pembiayaan Patuh Syariah Lebih Telus

Pembiayaan perumahan Islam dilihat lebih menguntungkan pembeli kediaman memandangkan ia membabitkan kontrak yang jelas berbanding pembiayaan konvensional yang bergantung kepada Kadar Pembiayaan Asas (BFR).

Perunding Kewangan Bertauliah IFP (Islamic Financial Planner), INFAQ Consultancy & Advisory, Afyan Mat Rawi berkata, sebagai pembeli, mendapatkan pembiayaan patuh syariah adalah sangat dituntut kerana ia turut membabitkan isu riba.

“Sebagai pembeli yang beragama Islam, memilih pembiayaan yang tidak mempunyai unsur riba adalah lebih baik.

Malah, sejak kebelakangan ini, pelanggan bukan Islam juga mula memilih perbankan Islam kerana percaya dengan kontrak yang disediakan,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, semalam.

Menurutnya, kontrak dalam pembiayaan Islam lebih baik berbanding sistem pinjaman konvensional kerana harga jualan atau jumlah pembiayaan dinyatakan dengan jelas di dalam kontrak.

“Tidak timbul isu menzalimi pelanggan kerana sejak dari awal lagi pelanggan akan dimaklumkan mengenai jumlah bayaran maksimum sepanjang tempoh pembiayaan.

“Sekiranya berlaku kelewatan bayaran semula, penalti tetap dikenakan tetapi jumlahnya tidak terlalu tinggi dan bukan bersifat berganda,” katanya.

Afyan berkata, ketika ini, terdapat kira-kira 16 perbankan Islam dan setiap satunya menawarkan nilai yang terbaik untuk pelanggan dan ada ketikanya tawaran diberikan jauh lebih baik berbanding sistem konvensional.

Sumber: Metro

962 total views, 0 today

Comments Off on Rendah Risiko

Rendah Risiko

| Buletin Hartanah | June 23, 2014

rendah risiko

Kuala Lumpur: SK Properties Sdn Bhd, menyarankan kepada pembeli rumah yang beragama Islam untuk mengambil pembiayaan rumah secara Islamik kerana risiko yang rendah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saufi Karim berkata, selalunya pembeli rumah atau hartanah akan menanyakan mengenai pinjaman konvensional dan pembiayaan rumah Islamik, namun kedua-duanya mempunyai objektif sama iaitu memberi perkhidmatan membayar rumah atau hartanah terbabit.

Bagaimanapun, pembiayaan secara Islamik akan menyatakan secara awal (up front) berapakah kadar keuntungan yang bakal diambil oleh pihak perbankan dalam pembiayaan rumah.

“Pihak bank akan memberitahu kadar pembiayaan asas (BFR) iaitu keuntungan berubah dengan kadar siling sebanyak 10 peratus.

“Kadar siling telah ditetapkan sehingga 10 peratus dan pernah kadar faedah pinjaman konvensional naik sehingga 12 peratus pada 2008 ketika krisis kewangan Asia.

Oleh itu, kadar siling 10 peratus mengurangkan beban terhadap pengguna untuk membuat pembayaran setiap bulan,” katanya.

Pembeli hartanah bukan Islam juga sekarang gemar memilih pembiayaan secara Islam kerana risiko yang rendah.

Saufi berkata, sejak 2009 kebanyakan bank ada menawarkan ‘zero entry cost’ di mana pembeli tidak perlu membayar yuran profesional dan guaman untuk mendapatkan pinjaman atau pembiayaan.

“Cara terbaik untuk memilih pembiayaan adalah mengikut kesesuaian dan kemampuan kita memiliki rumah.

Jika rumah itu dibeli untuk didiami, sebaik-baiknya jangka masa pembiayaan rumah terbabit pendek manakala hartanah yang dibeli untuk disewakan pula perlu jangka masa panjang.

“Ini kerana untuk pelaburan, kita hendak bayaran ansuran bulanan rendah berbanding rumah yang kita hendak tinggal untuk membolehkan kita dapat melangsaikan hutang dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata, salah satu cara untuk memilih pembiayaan ialah dengan memilih cara semi-flexi atau flexi iaitu jika pembeli mempunyai wang lebih untuk membuat pembayaran ansuran rumah, kadar faedah prinsipal dapat dikurangkan dengan lebih cepat berbanding jenis pembiayaan tetap.

Antara perbankan yang menawarkan pembiayaan Islamik syariah seperti Al-Rajhi Bank, Bank Islam dan Hong Leong Islam Bank.

Mereka mempunyai Penasihat Syariah yang menjaga kebajikan pengguna perbankan Islam.

Sumber: Metro

838 total views, 0 today

Comments Off on Pembiayaan Rumah

Pembiayaan Rumah

| Buletin Hartanah | June 23, 2014

Pembiayaan Rumah

Kuala Lumpur: Dewasa ini, pembelian rumah membabitkan kos tinggi memerlukan orang ramai melakukan pinjaman bank yang menawarkan pelbagai pakej pembiayaan bagi memenuhi keperluan pelanggan, namun mempunyai perbezaan daripada aspek kadar asas pinjaman (BLR), tempoh matang had pinjaman, bayaran pendahuluan dan lain-lain.

Ketika ini, orang ramai boleh memilih pinjaman daripada dua jenis institusi kewangan iaitu bank konvensional yang menawarkan pembiayaan perumahan konvensional yang lazimnya memiliki faedah atau institusi kewangan Islam yang menawarkan pembiayaan perumahan Islam bebas daripada unsur faedah atau riba.

Kebanyakan majoriti pembeli rumah terutama di kalangan pembeli beragama Islam kini dilihat lebih berhati-hati dalam melakukan pelaburan jangka panjang ini dan lebih cenderung memilih pembiayaan daripada institusi kewangan Islam melalui dua kaedah pembiayaan paling popular iaitu Bai Bithaman Ajil (BBA) dan kontrak perkongsian Musyarakah Mutanaqisah (MM).

Kaedah BBA adalah kaedah yang mula-mula digunakan dalam pembiayaan perumahan Islam oleh institusi kewangan Islam di Malaysia yang merujuk kepada jualan barangan di mana penjual membayar kepada pembeli harga jualan secara tangguh berserta dengan suatu margin keuntungan yang dipersetujui sama ada secara sekali gus atau ansuran.

Mekanisme operasi BBA ialah pembeli memilih suatu aset yang ingin dibeli, kemudian pembeli mendapatkan pembiayaan BBA daripada bank dan berjanji akan membeli aset terbabit pada harga jualan. Pihak bank akan membeli aset itu daripada pemilik secara tunai dan ia menjadi hak milik pihak bank.

Selepas itu, pihak bank akan menjual aset terbabit kepada pembeli berdasarkan harga jualan termasuk keuntungan yang dipersetujui. Hak milik aset itu berpindah kepada pembeli dan pihak pembeli akan membayar harga jualan kepada bank secara ansuran di dalam tempoh yang dipersetujui.

Selain itu, kontrak perkongsian Musyarakah Mutanasiqah (MM) adalah satu lagi kaedah pembiayaan pemilikan Islam di mana ia membabitkan dua bahagian kontrak iaitu pelanggan membuat perkongsian (musyarakah) dengan bank di bawah konsep Syirkah al-Milk (pemilikan bersama) dan bank memajak sahamnya ke atas pemilikan rumah berkenaan kepada pelanggan di bawah konsep ijarah (pajakan).

Melalui MM, pelanggan yang berhajat untuk membeli aset akan menemui pihak bank bagi mendapatkan pembiayaan di mana kedua-dua pihak akan menandatangani perjanjian Musyarakah untuk sama-sama membeli aset berdasarkan nisbah saham masing-masing sebagai contoh 90:10.

Deposit yang mungkin dibayar pelanggan akan dikira sebagai bayaran awal sahamnya di mana pelanggan kemudian akan menyewa bahagian aset yang dimiliki oleh bank menerusi perjanjian Ijarah.

Setiap pembayaran sewa adalah dikongsi bersama antara pelanggan dengan bank menurut nisbah pemegangan saham masing-masing di mana dalam bayaran sewa yang dibayar oleh pelanggan sejumlah tertentu akan digunakan untuk membeli bahagian saham yang dimiliki oleh pihak bank.

Sumber: Metro

1016 total views, 0 today

Comments Off on Cara Mudah Membuat Semakan Baki Pinjaman Perumahan Anda.

Cara Mudah Membuat Semakan Baki Pinjaman Perumahan Anda.

| Buletin Hartanah | June 16, 2014

Cara Mudah Membuat Semakan Baki Pinjaman Perumahan Anda.

Berikut adalah antara perkhidmatan “SMS” Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia.

Sering kali kami menerima rungutan apabila berurusan dengan Bahagian Perumahan Kerajaan.

Bila call, asik-asik masuk mesin operator. Bila dah dapat berhubung pula disuruh tunggu sebentar.

Mungkin ini langkah penyelesaian pertama anda sebelum mengambil tindakan susulan.

Gambar dibawah sebagai contoh untuk mengetahui Baki Pinjaman Perumahan:-

BPP <jarak> baki <jarak> No. KP/No. Tentera

Cara Mudah Membuat Semakan Baki Pinjaman Perumahan Anda

Untuk keterangan lanjut, sila layari web rasmi BPP
http://bpp.treasury.gov.my

12126 total views, 6 today

Comments Off on Tanah Terbiar Dimajukan

Tanah Terbiar Dimajukan

| Buletin Hartanah | June 16, 2014

Tanah terbiar dimajukan

BERA 15 Jun – Kira-kira 120,000 hektar tanah terbiar di negara ini akan dimajukan menjadi tanah pertanian yang bukan sahaja boleh memberikan manfaat kepada pemilik tanah berkenaan, malah dapat membantu menambah hasil pengeluaran pertanian negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kerajaan atau kementerian berkenaan tidak akan memajukan tanah terbiar berkenaan secara langsung, sebaliknya bertindak sebagai orang tengah yang akan mencari pemaju untuk memajukannya.

Menurutnya, kementerian telah mengenal pasti kawasan tanah terlibat dan proses perbincangan bersama pemilik tanah sedang dijalankan dalam memastikan usaha tersebut berjaya dicapai.

“Kebanyakan tanah yang dikenal pasti adalah milik individu tetapi terbiar begitu saja, jadi apabila kita kenal pasti pemiliknya, kita akan berbincang supaya tanah terbiar berkenaan dapat dimajukan dengan mendapat kebenaran mereka.

“Di Bera misalnya, terdapat kira-kira 1,000 hektar tanah terbiar, jadi saya telah arahkan jabatan berkaitan supaya membersihkan tanah berkenaan terlebih dahulu untuk kita majukan, bila dibersihkan saya percaya pemiliknya pasti akan datang berjumpa kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-73 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bera di Dewan Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Datuk Zainal Dahlan dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Pahang (Pasfa), Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid.

Ismail Sabri berkata, apabila tanah terbiar berkenaan dimajukan, sebuah tabung khas akan diwujudkan bagi mengumpul hasil pendapatan melalui jualan hasil pertanian tanah yang diusahakan tersebut.

“Hasil pendapatan yang dimasukkan di dalam tabung ini kita akan disalurkan kepada pemilik tanah tersebut untuk membantu mereka menjana ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, usaha memajukan tanah itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan negeri jika melibatkan tanah milik kerajaan dan waris-waris tanah bagi tanah milik individu.

Menurutnya, apabila mendapat kebenaran, tanah itu akan diusahakan dengan apa sahaja bentuk tanaman yang boleh menjana hasil dan pendapatan.

“Saya juga mahukan PPK di setiap daerah di negara ini supaya memainkan peranan bagi memastikan usaha untuk memajukan tanah terbiar ini berjaya,” jelasnya.

Sumber: Utusan

995 total views, 0 today

Comments Off on Peningkatan Harga Rumah Tempatan Mulai Susut

Peningkatan Harga Rumah Tempatan Mulai Susut

| Buletin Hartanah | June 9, 2014

Peningkatan harga rumah tempatan mulai susut

KUALA LUMPUR 8 Jun – Indeks Harga Rumah Global yang didedahkan oleh firma penyelidikan hartanah Global Knight Frank (GKF) minggu lalu menunjukkan, harga rumah di Malaysia naik lapan peratus untuk tempoh setahun sehingga suku pertama 2014, sebenarnya adalah peningkatan harga yang terendah sejak 2010.

Indeks yang dikeluarkan oleh firma itu merupakan maklumat yang boleh diperoleh menerusi laman sesawang Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia, yang bertanggungjawab mengeluarkan paras purata harga rumah tempatan untuk setiap suku tahun.

Meskipun laporan indeks harga rumah itu (GKF) telah disensasikan serta berjaya mendatangkan kerisauan kepada orang ramai, namun jika maklumat itu disertakan dengan peningkatan-peningkatan harga rumah di Malaysia dua tiga sebelum ini, ternyata kadar lapan peratus itu boleh dianggap sebagai melegakan.

Lapan peratus itu diperoleh dengan membandingkan harga rumah pada suku pertama 2013 iaitu kira-kira RM256,199 sebuah, telah meningkat kepada RM276,668 sebuah pada suku pertama 2014, iaitu peningkatan sekitar RM20,000 hanya dalam tempoh setahun.

Walaupun peningkatan itu cukup tinggi bagi kebanyakkan rakyat negara ini, peningkatan RM20,000 itu adalah yang terendah sejak dua tahun sebelum ini dengan setiap tahun mengalami kenaikkan RM25,000.

Ini belum diambil kira sejak kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan pelbagai peraturan bagi mengawal harga rumah seawal suku ketiga 2013, harga purata rumah tempatan dari Oktober 2013 hingga Mac 2014 hanya meningkat RM2,300 sahaja.

Itu bermakna, peningkatan lebih RM17,000 lagi hanya berlaku antara Januari hingga September 2013, iaitu sebelum kerajaan memperkenalkan pelbagai peraturan baharu bagi mengawal kenaikkan harga rumah yang mendadak.

Antara usaha-usaha yang diperkenalkan ialah mengetatkan pemberian pinjaman, pengenalan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), pelaksanaan harga maksimum RM1 juta kepada pembeli asing.

Menurut Penganalisis Affin Investment Bank, Isaac Chow, langkah kerajaan itu ternyata berjaya membendung peningkatan harga rumah yang tidak terkawal sejak dua tiga tahun sebelum ini.

Katanya, hal itu sedikit sebanyak telah menjejaskan perolehan syarikat-syarikat pemaju hartanah, khususnya pemaju yang menfokuskan rumah jenis kediaman atau kondominium mewah. Ini dapat dilihat apabila perolehan beberapa syarikat seperti IOI Properties, S P Setia, Sunway, UOA dan Tropicana menyusut sejak enam bulan lalu.

“Hal ini dapat dikesan sejak pertengahan tahun lalu lagi terutama sekali selepas pengenalan beberapa dasar baharu bagi mengawal kenaikan harga hartanah.

“Pada masa yang sama, agak sukar untuk menjangkakan harga rumah akan mengalami penurunan ketara, memandangkan pemaju hartanah terpaksa menanggung kos pembinaan yang semakin tinggi.

“Tetapi disebabkan pelbagai dasar baharu yang menyukarkan pembeli mendapat pinjaman, harga rumah tidak akan naik mendadak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun penganalisis itu menjangka pasaran harga rumah pada suku kedua kembali rancak, apabila pemaju-pemaju serta pembeli boleh membiasakan diri untuk menghadapi pelaksanaan peraturan oleh kerajaan dan BNM.

Tetapi, potensi untuk memperlihatkan berlakunya penurunan harga rumah tetap wujud. Sebagai contoh, Singapura yang melaksanakan peraturan lebih ketat seperti mewajibkan wang pendahuluan pembelian rumah yang tinggi serta hutang peminjam tidak melebihi 60 peratus pendapatannya.

Berdasarkan perangkaan GKF, harga rumah di Singapura menyusut 0.1 peratus dalam tempoh setahun lalu, meskipun mempunyai kepadatan yang tinggi.

Malah, usaha kerajaan yang memperkenalkan program-program rumah mampu milik juga dilihat membantu orang ramai membeli rumah serta menurunkan harga purata rumah tempatan.

Sumber: Utusan

1081 total views, 0 today

Comments Off on Malaysia Tangga Ke-15 Kenaikan Harga Rumah

Malaysia Tangga Ke-15 Kenaikan Harga Rumah

| Buletin Hartanah | June 5, 2014

Malaysia tangga ke-15 kenaikan harga rumah

Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam kalangan negara yang mencatatkan kenaikan harga rumah tertinggi pada suku pertama 2014 daripada 54 negara yang dikaji oleh laporan terbaharu Indeks Harga Rumah Global Knight Frank.

Laporan Knight Frank itu mendapati harga rumah di negara ini pada suku pertama 2014 meningkat lapan peratus dalam tempoh setahun berbanding suku pertama tahun lalu.

Ia menjadikan Malaysia sebagai negara kelima di rantau Asia yang mencatatkan kenaikan harga tertinggi sepanjang tempoh itu, di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Taiwan dan Indonesia.

UAE menerusi bandar raya utamanya, Dubai menduduki tangga teratas dalam indeks itu buat suku keempat berturut-turut apabila harga rumahnya melonjak 27.7 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama 2013.

Penyelidik Kediaman Antarabangsa Knight Frank, Kate Everett-Allen, berkata Indeks Harga Rumah Global terus meningkat buat lapan suku berturut-turut, namun kadar pertumbuhan harganya sedikit perlahan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Katanya, walaupun indeks menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada suku pertama 2014 apabila hanya berkembang 0.6 peratus berbanding 1.2 peratus pada suku sebelumnya, ia masih mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.1 peratus.

“Suku terakhir biasanya menyaksikan kemuncak urus niaga jualan memandangkan pembeli bergegas untuk menyelesaikan pembelian sebelum tahun baharu apabila pelbagai peraturan cukai selalunya berkuat kuasa.

“Ini menyebabkan pasaran biasanya lebih lengang pada suku pertama,” katanya mengulas laporan Indeks Harga Rumah Global Knight Frank dalam satu nota, semalam.

Sementara itu, pemulihan dalam pasaran perumahan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan Iceland terserlah apabila ketiga-tiga negara itu muncul di 10 tempat teratas peningkatan harga rumah yang turut disertai pasaran sedang pesat membangun utama seperti China, Turki dan Brazil.

Kadar pertumbuhan harga rumah di AS sedikit perlahan pada suku pertama, yang secara puratanya meningkat 10.3 peratus setahun, berbanding 11.3 peratus pada suku sebelumnya.

Sepuluh negara menduduki tempat terbawah dalam indeks terbaharu itu pula rata-ratanya terdiri daripada negara Eropah Timur dan Eropah Selatan.

Buat kali pertama sejak tahun 2008, tiada sebuah negara dikaji oleh indeks itu mencatatkan penurunan harga tahunan melebihi 10 peratus. Singapura dan Jepun muncul dua negara bukan Eropah yang berada di kedudukan 14 terbawah dalam indeks berkenaan.

Indeks Harga Rumah Global Knight Frank yang dimulakan pada tahun 2006 ialah pengukur utama kepada pelabur serta pemaju untuk memantau dan membandingkan prestasi pasaran kediaman di seluruh dunia.

Maklumatnya dikumpulkan pada setiap suku tahun menggunakan perangkaan rasmi kerajaan atau data bank pusat.

Sumber: BHarian

891 total views, 1 today

Harga Rumah Di Malaysia Naik 8 Peratus Suku Pertama Tahun Ini.

| Buletin Hartanah | June 5, 2014

Harga Rumah Di Malaysia Naik 8 Peratus Suku Pertama Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Harga rumah di Malaysia meningkat lapan peratus pada suku pertama 2014 berbanding tempoh sama tahun lalu. Menurut Indeks Harga Rumah Knight Frank Global yang disiarkan pada Selasa, Malaysia menduduki tempat ke-15 antara 54 negara.

Dubai yang menduduki tangga teratas ranking tahunan buat suku keempat berturut-turut, mencatatkan pertumbuhan 27.7 peratus hingga akhir Mac, katanya dalam nota penyelidikannya.

Bagaimanapun, harga meningkat 3.4 peratus pada tiga bulan pertama 2014, berikutan fi pemindahan yang meningkat sekali ganda dan sekatan gadai janji memberi impak ke atas pasaran hartanah negara berkenaan.

Ketua Penyelidik Knight Frank bagi Asia Pasifik, Nicholas Holt berkata 14 negara merekodkan penurunan harga rumah tahun ke tahun berbanding 12 di Eropah manakala Singapura dan Jepun merupakan negara bukan Eropah.

“Langkah-langkah membendung spekulasi serta syarat pinjaman gadai janji yang lebih ketat membendung peningkatan harga di Singapura manakala di Jepun, ‘Abenomics’ belum menolak naik harga rumah ke jajaran positif,” katanya.

Beliau berkata:’Kami menjangkakan melihat pengukuhan prestasi indeks pada suku kedua. Tumpuan kini kekal pada bank-bank pusat khususnya Rizab Persekutuan, Bank of England dan Bank Pusat Eropah.

“Isunya bukan bila kadar faedah akan naik tetapi kepantasan dan tahap ia boleh dilakukan”.

Secara keseluruhannya, Indeks Harga Rumah Global meningkat buat lapan suku berturut-turut, namun kadar pertumbuhan harga perlahan di sepanjang tiga bulan pertama 2014.

Sumber: Mstar

831 total views, 0 today

Comments Off on Generasi Muda Bakal Menyewa Sampai Mati

Generasi Muda Bakal Menyewa Sampai Mati

| Buletin Hartanah | June 5, 2014

Generasi Muda Bakal Menyewa Sampai Mati

KUALA LUMPUR – Generasi muda masa kini bakal berhadapan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri dan mereka mungkin terpaksa menyewa sehingga ke akhir hayat gara-gara harga rumah di negara ini semakin meningkat.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Amir Baharuddin berkata, sepanjang tahun lalu harga rumah di Malaysia dilaporkan telah naik kira-kira 30 peratus berbanding tahun sebelumnya dan ia naik lagi pada suku pertama tahun ini.

“Kenaikan suku pertama tahun ini tidak begitu drastik seperti tahun lalu tetapi hakikatnya kenaikan harga masih berlaku. Nampak gayanya, sampai mati golongan muda terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Setiap rakyat Malaysia memerlukan gaji atau pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan untuk melayakkan mereka membuat pinjaman membeli rumah yang kini berharga lebih RM350,000 seunit dan kita kena faham mereka perlu juga menanggung perbelanjaan lain seperti kereta dan makan minum,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sumber: Kosmo

1111 total views, 0 today

Comments Off on Projek Rumah Generasi Baru Siap 70%

Projek Rumah Generasi Baru Siap 70%

| Uncategorized | June 2, 2014

Projek perumahan generasi baru siap 70%

Jempol: Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) Di FELDA Pasoh Satu, dekat Simpang Pertang, Jelebu di sini sudah lebih 70 peratus siap.

Sumber: Metro

1085 total views, 0 today

Comments Off on Bina 100,000 Unit Rumah PPA1M

Bina 100,000 Unit Rumah PPA1M

| Buletin Hartanah | May 18, 2014

Bina 100,000 unit rumah PPA1M
JOHOR BAHRU 16 Mei – Kerajaan menyasarkan akan membina sebanyak 100,000 unit rumah di bawah skim Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd. Sadique berkata, bagi tujuan itu kerajaan negeri perlu segera mengemukakan permohonan untuk menerima peruntukan skim tersebut.

“Sehingga kini hanya empat negeri sahaja yang telah mengemukakan permohonan untuk pembinaan di negeri masing-masing. Kementerian berharap agar kerajaan negeri dapat menghantar segera permohonan tersebut.

“Lokasi yang dipilih itu seharusnya strategik dengan faktor persekitaran yang baik bagi merangsang minat dalam kalangan penjawat awam untuk membeli rumah tersebut,” katanya selepas mengadakan program turun padang di rumah pangsa Taman Tampoi Utama, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Bandar Johor Bahru, Abd. Rahman Mohamed Dewam.

Skim PPA1M diperkenal untuk mengga­lakkan penjawat awam di peringkat negeri dan Persekutuan memiliki rumah.

Kadar harga rumah yang ditawarkan bermula daripada RM90,000 sehingga RM300,000 seunit dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.

Halimah berkata, pihak kementerian akan mengadakan pertemuan dengan menteri besar di negeri lain bagi mempromosi skim berkenaan.

Mengenai perlaksanaan di Johor, Halimah berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti dua lokasi bagi pembinaan PPA1M itu yang dijangka dibina dalam kawasan Iskandar Malaysia.

“Kita juga mengalu-alukan neg eri yang diperintah pihak pembangkang untuk menghantar permohonan kerana ini adalah tanggungjawab mutlak kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sumber: Utusan

1015 total views, 0 today

Page 2 of 4 1 2 3 4

LikeBox

Mudah.my

PropertyGuru.Com

ShoutBox