Welcome, visitor! [ Register | LoginRSS Feed  |   | 

Comments Off

Malaysia Tangga Ke-15 Kenaikan Harga Rumah

| Buletin Hartanah | June 5, 2014


Malaysia tangga ke-15 kenaikan harga rumah

Malaysia menduduki tempat ke-15 dalam kalangan negara yang mencatatkan kenaikan harga rumah tertinggi pada suku pertama 2014 daripada 54 negara yang dikaji oleh laporan terbaharu Indeks Harga Rumah Global Knight Frank.

Laporan Knight Frank itu mendapati harga rumah di negara ini pada suku pertama 2014 meningkat lapan peratus dalam tempoh setahun berbanding suku pertama tahun lalu.

Ia menjadikan Malaysia sebagai negara kelima di rantau Asia yang mencatatkan kenaikan harga tertinggi sepanjang tempoh itu, di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Taiwan dan Indonesia.

UAE menerusi bandar raya utamanya, Dubai menduduki tangga teratas dalam indeks itu buat suku keempat berturut-turut apabila harga rumahnya melonjak 27.7 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama 2013.

Penyelidik Kediaman Antarabangsa Knight Frank, Kate Everett-Allen, berkata Indeks Harga Rumah Global terus meningkat buat lapan suku berturut-turut, namun kadar pertumbuhan harganya sedikit perlahan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Katanya, walaupun indeks menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada suku pertama 2014 apabila hanya berkembang 0.6 peratus berbanding 1.2 peratus pada suku sebelumnya, ia masih mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.1 peratus.

“Suku terakhir biasanya menyaksikan kemuncak urus niaga jualan memandangkan pembeli bergegas untuk menyelesaikan pembelian sebelum tahun baharu apabila pelbagai peraturan cukai selalunya berkuat kuasa.

“Ini menyebabkan pasaran biasanya lebih lengang pada suku pertama,” katanya mengulas laporan Indeks Harga Rumah Global Knight Frank dalam satu nota, semalam.

Sementara itu, pemulihan dalam pasaran perumahan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan Iceland terserlah apabila ketiga-tiga negara itu muncul di 10 tempat teratas peningkatan harga rumah yang turut disertai pasaran sedang pesat membangun utama seperti China, Turki dan Brazil.

Kadar pertumbuhan harga rumah di AS sedikit perlahan pada suku pertama, yang secara puratanya meningkat 10.3 peratus setahun, berbanding 11.3 peratus pada suku sebelumnya.

Sepuluh negara menduduki tempat terbawah dalam indeks terbaharu itu pula rata-ratanya terdiri daripada negara Eropah Timur dan Eropah Selatan.

Buat kali pertama sejak tahun 2008, tiada sebuah negara dikaji oleh indeks itu mencatatkan penurunan harga tahunan melebihi 10 peratus. Singapura dan Jepun muncul dua negara bukan Eropah yang berada di kedudukan 14 terbawah dalam indeks berkenaan.

Indeks Harga Rumah Global Knight Frank yang dimulakan pada tahun 2006 ialah pengukur utama kepada pelabur serta pemaju untuk memantau dan membandingkan prestasi pasaran kediaman di seluruh dunia.

Maklumatnya dikumpulkan pada setiap suku tahun menggunakan perangkaan rasmi kerajaan atau data bank pusat.

Sumber: BHarian

688 total views, 2 today

  

Langgan Newsletter RumahN9.Com

widged2

LikeBox

Mudah.my

PropertyGuru.Com

ShoutBox