Welcome, visitor! [ Register | LoginRSS Feed  |   | 

Comments Off

Malaysia Tumpuan Pelabur China

| Buletin Hartanah | August 5, 2014


Malaysia tumpuan pelabur China

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Meskipun kerajaan telah memperkenalkan peraturan harga rumah minimum yang boleh dibeli oleh rakyat asing bermula serendah RM1 juta, peraturan tersebut dilihat tidak dapat menghalang rakyat China untuk terus membeli rumah di sini.

Hal itu dapat diperkukuhkan lagi apabila Malaysia buat pertama kalinya tersenarai di dalam kelompok 10 negara yang menjadi destinasi pilihan rakyat China untuk membeli aset hartanah atau dijadikan rumah kedua mereka, menurut laman web hartanah negara itu, Juwai.

Malaysia berada di kedudukan ke-10 dibelakang Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada, United Kingdom (UK), New Zealand, Thailand, Singapura, Portugal dan Sepanyol, untuk separuh pertama 2014.

Kedudukan itu disusun oleh Juwai berdasarkan anggaran carian dan transaksi yang dibuat oleh pembeli hartanah menerusi laman web itu, yang dilaporkan oleh majalah berita kewangan, Forbes pada 31 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Juwai, Andrew Taylor berkata, kehadiran syarikat-syarikat pemaju hartanah China ke Malaysia membuatkan lebih ramai rakyat China dapat mudah membeli rumah dengan mudah di negara Asia Tenggara ini.

“Jika mahu mengetahui negara manakah rakyat China menjadikannya rumah kedua, kita hanya perlu melihat ke manakah pelaburan-pelaburan syarikat pemaju hartanah China,” katanya dalam analisis yang disiar laman web itu.

Antara pemaju hartanah China yang melakukan pelaburan ke Malaysia ialah Country Garden dan Guangzhou R&F.

Kemampuan rakyat China membeli hartanah di negara asing turut dikaitkan dengan bilangan penduduknya yang tergolong di dalam kumpulan berpendapatan menengah tinggi berjumlah 63 juta orang, menurut Juwai lagi.

Kawalan Kerajaan China yang mengetatkan peraturan pembelian rumah di negara tersebut dalam usaha mengekang kenaikan harga rumah, turut membuat rakyatnya kini beralih ke negara asing untuk membeli rumah.

Pada tahun 2013, pembeli China membelanjakan AS$37 bilion (RM118.4 bilion) untuk membeli kediaman di negara asing, dengan 70 peratus daripadanya membayar secara tunai.

Perkembangan itu dilihat bertentangan dengan dakwaan bahawa rakyat China tidak mahu melancong ke Malaysia ekoran tragedi kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang membabitkan 153 rakyatnya. Kes itu bagaimanapun tidak menjejaskan minat rakyat negara itu untuk membeli rumah di sini.

Sumber: Utusan

 

721 total views, 3 today

  

Langgan Newsletter RumahN9.Com

widged2

LikeBox

Mudah.my

PropertyGuru.Com

ShoutBox