Welcome, visitor! [ Register | LoginRSS Feed  |   | 

Comments Off

Membeli Rumah Sebagai Pelaburan

| Buletin Hartanah | April 23, 2014


 

Membeli Rumah Sebagai Pelaburan

Membeli Rumah Sebagai Pelaburan

Pelaburan dalam hartanah merupakan salah satu bentuk pelaburan yang membolehkan anda membina kekayaan, terutama jika rumah yang dibeli itu untuk disewakan atau dijual semula.

Berikut adalah soalan yang perlu ditanya sebelum anda membeli rumah untuk tujuan pelaburan:
• Apakah jenis hartanah yang boleh meningkatkan nilai kewangan anda?
• Berapakah jumlah sewa yang boleh anda peroleh daripada hartanah tersebut?
• Adakah anda mampu mengurus dan menyelenggarakan hartanah bagi tempoh jangka panjang, walaupun aliran tunai anda tidak menentu (terutama apabila tiada penyewa?)
• Oleh sebab hartanah adalah aset bukan mudah cair (tidak mudah untuk dijual), adakah ini mendatangkan masalah kepada anda sekiranya anda memerlukan wang tunai kelak?

Jika anda membeli hartanah dan merancang untuk menjualkannya kemudian, ingat bahawa anda mungkin dikenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (Real Property Gains Tax) ke atas keuntungan bersih daripada penjualan hartanah anda.

pelaburan hartanah

Faktor yang perlu dipertimbang
Terdapat dua faktor yang perlu dipertimbang sebelum membeli rumah, iaitu faktor bukan kewangan dan faktor kewangan.

Faktor bukan kewangan
1) Lokasi hartanah
Anda perlu menentukan di mana anda hendak tinggal dan jenis kejiranan anda. Terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi pilihan lokasi anda. Antaranya ialah:

• Kemudahan asas, seperti kedai, bank, pejabat pos, sekolah, hospital, taman rekreasi dan kawasan kejiranan
• Kemudahan pengangkutan awam
• Jarak dari tempat kerja
• Kesibukan lalu lintas
• Keselamatan

2) Jenis hartanah
Harga rumah bertanah biasanya adalah lebih tinggi, terutama jika ia berhampiran dengan kawasan bandar. Manakala harga rumah bertingkat seperti kondominium dan apartmen biasanya lebih mampu dimiliki. Kebiasaannya nilai pasaran rumah bertanah akan meningkat lebih cepat berbanding dengan rumah bertingkat.

3) Jenis pegangan hak milik
Membeli hartanah pegangan bebas atau dengan hak milik kekal bermakna anda mempunyai hak ke atas tanah tersebut untuk selama-lamanya. Hartanah pegangan pajakan pula bermakna anda hanya memiliki tanah tersebut selama tempoh pajakan, biasanya 99 tahun. Selepas tamat tempoh pajakan, hartanah tersebut hendaklah dipulangkan kepada pihak berkuasa, melainkan tempoh pajakan dilanjutkan dengan membuat bayaran premium. Oleh itu, nilai pasaran hartanah pegangan bebas biasanya lebih tinggi berbanding hartanah pegangan pajakan. Nilai hartanah pegangan pajakan pula biasanya menurun apabila hampir kepada tempoh tamat pajakan.

4) Jenis surat ikatan hak milik
Surat ikatan hak milik membuktikan anda pemilik sebuah hartanah. Anda akan diberikan hak milik individu bagi rumah bertanah, sementara hak milik strata kepada pemilik kondominium atau apartmen. Anda perlu memeriksa sama ada terdapat sebarang halangan atau sekatan ke atas hartanah tersebut kerana ia menjejaskan proses pemindahan hak milik atau penjualan hartanah. Sebaik-baiknya, berbincanglah dengan perunding hartanah, peguam atau dapatkan nasihat daripada pihak yang berpengalaman mengenai pasaran hartanah sebelum anda membayar wang pendahuluan.

5) Reputasi pemaju
Kebanyakan pemaju mengamalkan pendekatan “jual dulu bina kemudian”. Jika anda membeli rumah dalam pembinaan, anda akan mula membayar sebelum rumah anda siap dibina. Oleh itu, anda perlu mengkaji latar belakang pemaju dan rekod prestasi mereka. Anda hendaklah memastikan bahawa pemaju mempunyai lesen sah (belum luput) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Anda boleh melayari laman sesawang KPKT di www.kpkt.gov.my untuk maklumat lanjut.

Anda juga perlu selidik projek lampau pemaju sama ada mereka menunaikan janji atau tidak. Periksa:
• Projek mereka disiapkan mengikut jadual ataupun tidak.
• Kualiti kerja mereka.
• Semua kemudahan disediakan seperti tertera di dalam brosur.
• Sama ada pembeli terdahulu berpuas hati dengan pembelian mereka.
• Jika projek rumah terbengkalai, anda masih bertanggungjawab untuk membayar balik pinjaman kepada institusi kewangan walaupun anda tidak mendapat hartanah tersebut.

Atas sebab inilah, pemaju terkenal yang memiliki rekod prestasi yang baik biasanya meletakkan premium ke atas harga jualan projek hartanah mereka.

Faktor kewangan
Nilai kemampuan anda. Periksa aliran tunai dan nilai harta bersih anda untuk menentukan keselesaan kewangan anda. Kedua-dua penyata ini merupakan kad skor kewangan dan menjadi rujukan ketika membuat keputusan berkaitan wang.

Biasanya terdapat dua persoalan tentang kemampuan yang perlu dipertimbang:
1) Bayaran pendahuluan dan kos berkaitan
Satu anggaran yang baik untuk bayaran pendahuluan sebuah rumah ialah antara 10% hingga 20% daripada harga rumah. Anda harus menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 5% hingga 10% untuk kos sampingan yang berkaitan, terutamanya yuran guaman dan duti setem. 

2) Antara sumber kewangan untuk membayar bayaran pendahuluan dan kos berkaitan termasuk: 
• Tabungan atau pelaburan peribadi
Gunakan tabungan atau pelaburan anda sebanyak mungkin untuk bayaran pendahuluan. Lebih banyak bayaran pendahuluan, maka lebih rendah kos keseluruhan pinjaman anda.

• Akaun simpanan KWSP
Anda boleh mengeluarkan wang Akaun 2 sebagai bayaran pendahuluan. Sila dapatkan maklumat lanjut tentang kelayakan pengeluaran anda daripada pejabat KWSP.

 

807 total views, 2 today

  

Langgan Newsletter RumahN9.Com

widged2

LikeBox

Mudah.my

PropertyGuru.Com

ShoutBox