Welcome, visitor! [ Register | LoginRSS Feed  |   | 

Comments Off

PR1MA Perkenal Dua Mekanisme

| Buletin Hartanah | June 26, 2014


PR1MA perkenal dua mekanisme

ROMPIN 25 Jun – Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan melaksanakan dua mekanisme baharu yang membolehkan harga rumah di bawah program tersebut dijual tidak melebihi RM100,000.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, mekanisme pertama adalah menerusi pembinaan rumah model baharu yang bersesuaian dengan keperluan golongan muda baharu berkahwin dengan projek perintis bakal dilaksanakan di Teluk Intan, Perak pada tahun ini.

“Rumah PR1MA model baharu ini antara lain mempunyai ciri seperti tapak keluasan tanah 20 kaki x 70 kaki (6 meter x 21 meter) yang kita akan bina dengan sebuah bilik tidur, ruang tamu dan dapur kecil yang boleh diubah suai pada masa depan.

“Bagaimanapun kita membinanya mengikut pelan rumah yang mempunyai tiga bilik bagi membolehkan pembelinya melakukan pengubahsuaian apabila ahli keluarga mereka telah bertambah nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian zakat Kumpulan Teras Dara Konsortium (TDK) di sini hari ini.

Jamaluddin berkata, kajian menunjukkan orang muda atau mereka yang baharu berkahwin tidak memerlukan banyak bilik serta ruang yang besar dalam sesebuah rumah jadi, pihaknya boleh menyediakan rumah itu dengan harga murah.

“Maka kita memperkenalkan model baru ini bagi membolehkan lebih ramai golongan muda memiliki rumah dengan harga yang lebih murah. Mereka boleh ubah suai rumah ini nanti apabila memerlukannya dengan kos ditanggung sendiri pembeli,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mekanisme kedua pula adalah dengan membina rumah PR1MA di atas tanah rizab Melayu yang dapat membantu mengurangkan kos pembinaan rumah sehingga 50 peratus memandangkan harga tanah kategori tersebut adalah lebih murah.

“Ini sekali gus ini mengurangkan lagi harga rumah PR1MA yang dijual kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat Lembaga Pengarah PR1MA sebelum dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau dalam pada itu berkata, setakat ini PR1MA menerima 600,000 permohonan untuk mendapatkan rumah di bawah program itu.

“Sehingga kini pembinaan sebanyak 80,000 rumah PR1MA telah diluluskan daripada 500,000 yang disasar akan dibina dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Sumber: Utusan

 

774 total views, 2 today

  

Langgan Newsletter RumahN9.Com

widged2

LikeBox

Mudah.my

PropertyGuru.Com

ShoutBox