Welcome, visitor! [ Register | LoginRSS Feed  |   | 

Comments Off on 4 Rahsia Pelaburan Hartanah Yang Perlu Kita Tahu

4 Rahsia Pelaburan Hartanah Yang Perlu Kita Tahu

| Buletin Hartanah | August 20, 2014

4 rahsia pelaburan hartanah, rahsia pelaburan hartanah tanpa modal, rahsia pelaburan hartanah bagi pendapatan kecil, pelaburan hartanah tanpa modal, pelaburan hartnah malaysia

Rahsia Pelaburan Hartanah

Bagaimana menentukan kejayaan setiap pelaburan anda itu menguntungkan, terutama dalam hartanah? Terdapat empat faktor yang jika dilakukan bakal mendorong kepada kejayaan pelaburan hartanah seseorang.

Majoriti daripada kita mengetahui yang kekayaan atau kesenangan hidup mampu diperoleh menerusi pelaburan hartanah. Malah, sejak zaman nenek moyang kita lagi kita telah dimomokkan dengan tanggapan, orang paling kaya di dalam sesebuah kampung adalah dari kalangan mereka yang mempunyai berelong-relong tanah dan beberapa deretan rumah.

Continue reading »

2397 total views, 1 today

Comments Off on Pasaran Hartanah Malaysia Dijangka Terus Perlahan

Pasaran Hartanah Malaysia Dijangka Terus Perlahan

| Buletin Hartanah | July 24, 2014

Pasaran Hartanah Malaysia Dijangka Terus Perlahan

KUALA LUMPUR 23 Julai – Pasaran hartanah di Malaysia dijangka tumbuh perlahan pada tahun ini berikutan menerima impak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan April tahun depan.

Ketua Penyelidik Agensi Perunding Knight Frank Asia Pasifik, Nicholas Holt berkata, pembeli hartanah mula mengambil sikap berhati-hati terhadap pelaburan masing-masing.

Katanya, ada sesetengah pembeli akan membuat pelaburan pada separuh kedua tahun ini kerana mengambil kesempatan terakhir sebelum GST dilaksanakan.

Selain itu, jelasnya, peraturan yang lebih ketat dalam kelulusan pembiayaan perumahan turut menyumbang kepada pasaran hartanah yang terus menguncup.

“Saya masih beranggapan positif terhadap pasaran hartanah Malaysia pada waktu ini. Masih mempunyai potensi untuk berkembang walaupun sedikit perlahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis taklimat mengenai pembangunan timur London di sini hari ini.

Tambah Holt, pembangunan pinggir bandar di negara ini dijangka berkembang lebih baik berbanding pembangunan dalam bandar berikutan nilai pasaran yang masih rendah.

Malah, jelasnya, peningkatan kos pelaburan selepas pelaksanaan GST tidak terlalu ketara bagi pembangunan pinggir bandar.

Sumber: Utusan

913 total views, 1 today

Comments Off on Garis Panduan Baru Industri Hartanah

Garis Panduan Baru Industri Hartanah

| Buletin Hartanah | July 11, 2014

aris panduan baru industri hartanah

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan baru bagi industri hartanah di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selepas mengambil kira permintaan daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) dan orang ramai.

Timbalan Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Tan Sim Kiat berkata, jabatan itu masih mendapatkan maklum balas dan cadangan untuk pertimbangan bagi pelepasan yang lebih baik kepada keseluruhan rantaian bekalan daripada pengeluar, pengedar, peruncit dan pengguna akhir. “Kerajaan mendengar semua orang dan inilah sebabnya kita cuba memastikan segala-galanya teratur sebelum pelaksanaan GST,” katanya pada Persidangan GST Kebangsaan 2014 di sini, semalam. Antara permintaan untuk pertimbangan ialah bagi perintah pelepasan GST digunakan untuk unit perumahan mampu milik yang harga jualan sehingga RM400,000 dan peruntukan bagi beberapa pelepasan kepada pembekal untuk menangani isu aliran tunai. Tan yang yakin garis panduan baru itu akan melegakan semua orang yang tidak pasti mengenai kesan GST terhadap industri hartanah.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh garis panduan itu akan dikeluarkan. Semasa menjelaskan mengenai GST untuk tempat letak kereta atau parkir, Tan berkata, tempat letak kereta percuma yang diberikan oleh pemaju di pangsapuri dan kondominium dikecualikan daripada sebarang cukai manakala tempat letak kereta untuk hartanah komersial akan dikenakan cukai GST.

Sumber: Metro

1106 total views, 1 today

Comments Off on Pemilik Perlu Congak ROI

Pemilik Perlu Congak ROI

| Buletin Hartanah | July 10, 2014

pemilik

Kuala Lumpur: Untuk menyewakan kediaman dan mendapat pulangan daripada pelaburan yang dibuat, pemilik kediaman bukan saja perlu memastikan permintaan pasaran, malah perlu mencongak pulangan daripada pelaburan (ROI) yang akan diperoleh.

Pengurus Urus Insan Sdn Bhd Zaidi Ismail berkata, pemilik kediaman tidak boleh terus mengiklankan kediaman mereka sebelum mengetahui pasaran bagaimana yang sesuai dengan lokasi kediaman.

“Ada segelintir pemilik kediaman mahu menyewakan rumah kepada golongan pelajar sedangkan tidak semua lokasi sesuai disewakan kepada golongan ini.

“Maka, pemilik kediaman perlu membuat sedikit kajian bagi menentukan jenis penyewa bagaimana yang berpotensi untuk lokasi itu,” katanya di sini, semalam.

Urus Insan kini menyelia 34 rumah sewa dengan 150 penyewa yang terdiri daripada pelajar dan golongan pekerja di sekitar ibu kota termasuk Bukit Kerinchi, Keramat, Subang dan Shah Alam.

Menurutnya, pihaknya lebih cenderung memilih rumah untuk dijadikan asrama kerana cara berkenaan dilihat lebih menguntungkan.

“Terdapat dua jenis golongan yang sesuai untuk menyewa kediaman jenis ini iaitu pelajar dan mereka yang sudah bekerjaya.

Malah, kemudahan yang disediakan juga tidak sama.

“Bagi mereka yang sudah bekerja, kebiasaannya gemarkan dapur dan peralatan kediaman yang lengkap berbeza dengan golongan pelajar yang mahukan kemudahan yang sesuai dengan mereka termasuk rak buku, Internet dan meja belajar,” katanya.

Zaidi berkata, pihaknya juga tidak menyewakan rumah kosong kepada penyewa, namun akan memberi nilai tambahan sesuai dengan harga sewa yang dikenakan.

“Selain menyewakan ruang, kami juga memberi perkhidmatan kepada penyewa di mana setiap rumah yang disewakan akan dilengkapi pelbagai kemudahan.

“Kerana itu, penyewa tidak kisah membayar harga sewa sedikit tinggi memandangkan mereka boleh menggunakan pelbagai kemudahan disediakan tanpa membuat bayaran tambahan pada hujung bulan,” katanya.

Bergantung kepada jenis sewaan, Urus Insan mengenakan kadar antara RM200 hingga RM500 bagi setiap penyewa dengan kemudahan tambahan yang berbeza.

Sumber: Metro

938 total views, 0 today

Comments Off on Rancang Rumah Jadi Asrama

Rancang Rumah Jadi Asrama

| Buletin Hartanah | July 7, 2014

Rancang Rumah Jadi Asrama

Kuala Lumpur: SK Properties Sdn Bhd mengesyorkan pemilik kediaman atau pihak pengurusan hartanah perlu teliti dan mempunyai garis panduan dalam perancangan rumah dijadikan asrama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saufi Karim berkata, untuk menjadikan kediaman sebagai asrama, pemilik perlu menitikberatkan tiga sudut utama iaitu penyewa, tuan rumah dan kejiranan.

Katanya, terdapat beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum menjadikan kediaman sebagai asrama sama ada untuk pelajar ataupun pekerja.

“Semua penyewa memang menginginkan kadar sewa murah, terutama pelajar antara menginginkan sewa rendah dengan jumlah rakan penyewa ramai.

“Manakala, dari sudut tuan rumah pula, bayaran sekepala lebih menguntungkan berbanding sewakan kepada keluarga atau individu saja.

Jika dipertimbangkan mengenai kejiranan pula, komuniti menjadi hiruk-pikuk dengan keadaan rumah tak terurus,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, pemilik perlu mempunyai kontrak sewa untuk memastikan semua dalam keadaan selamat dan tidak mengganggu kejiranan.

Saufi berkata, kebanyakan negara juga membuat undang-undang mengharamkan penyewa dua keluarga dalam sebuah rumah, contohnya di Arab Emiriah Bersatu, Abu Dhabi dan Dubai.

“Di Australia pula, maksimum dua orang pelajar saja boleh menyewa sebuah bilik, tetapi kadar sewa di negara terbabit amat tinggi.

“Malaysia masih berada pada tahap harga sewa berpatutan dengan kadar pendapatan masing-masing.

Bagi saya pelajar atau penyewa perlu diingatkan dengan tahap keselesaan jika hendak belajar dengan baik,” katanya.

Sumber: Metro

943 total views, 0 today

Comments Off on Makan Gaji Pun Boleh

Makan Gaji Pun Boleh

| Buletin Hartanah | July 7, 2014

gaji

Kuala Lumpur: Apabila berbicara mengenai perniagaan hartanah, masih belum ramai individu di negara ini menceburi bidang terbabit kerana menganggap ia sebagai perniagaan yang memerlukan modal tinggi meskipun ia adalah sektor perniagaan menguntungkan kerana harga rumah sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Pengurus Urus Insan Sdn Bhd Zaidi Ismail berkata, persepsi terbabit perlu diubah kerana perniagaan hartanah sebenarnya boleh dilakukan tanpa perlu menggunakan simpanan wang atau gaji masing-masing.

“Saya sedar orang ramai masih melihat perniagaan hartanah sebagai sukar kerana berpendapat ia memerlukan rumah yang berkeadaan baik pada harga tinggi, namun mereka boleh melakukannya jika membeli rumah yang sesuai dengan pendapatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dengan purata pendapatan rendah boleh menceburi perniagaan hartanah di mana mereka boleh memiliki sehingga empat unit rumah dengan hanya melakukan pembiayaan perbankan dan pinjaman insurans.

Foto
ORANG ramai dengan purata pendapatan rendah turut boleh menceburi perniagaan hartanah yang pastinya mampu memberi keuntungan.

Sebelum melakukan pembelian, orang ramai perlu menilai dulu potensi dan nilai pulangan pelaburan bagi sesuatu unit di mana lokasi bukanlah diletak sebagai keutamaan dalam membeli hartanah terbabit.

Zaidi berkata, sewaan adalah kaedah paling tepat bagi individu yang ingin memulakan perniagaan hartanah ini kerana ia dilihat menjana lebih banyak pendapatan melalui pelbagai jenis sewaan.

“Pemilik hartanah boleh menjana pendapatan melalui tujuh jenis sewaan rumah berasaskan rumah, bilik, masa, bilangan penyewa, kemudahan dan sewa atas sewa di mana mereka boleh menggabungkan dua jenis sewaan atau lebih bagi setiap unit rumah,” katanya.

Beliau berkata, perniagaan hartanah melalui kaedah sewaan memiliki potensi besar untuk menjana pendapatan kerana sewaan juga boleh dilakukan berdasarkan demografi kawasan dan keperluan penyewa.

“Saya lihat tidak salah jika individu memiliki banyak rumah dan menyewakannya kepada orang ramai selagi mereka tidak menyalahi undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menjaga sensitiviti di kawasan kejiranan,” katanya.

Sumber: Utusan

1137 total views, 0 today

Comments Off on Bina 100,000 Unit Rumah PPA1M

Bina 100,000 Unit Rumah PPA1M

| Buletin Hartanah | May 18, 2014

Bina 100,000 unit rumah PPA1M
JOHOR BAHRU 16 Mei – Kerajaan menyasarkan akan membina sebanyak 100,000 unit rumah di bawah skim Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd. Sadique berkata, bagi tujuan itu kerajaan negeri perlu segera mengemukakan permohonan untuk menerima peruntukan skim tersebut.

“Sehingga kini hanya empat negeri sahaja yang telah mengemukakan permohonan untuk pembinaan di negeri masing-masing. Kementerian berharap agar kerajaan negeri dapat menghantar segera permohonan tersebut.

“Lokasi yang dipilih itu seharusnya strategik dengan faktor persekitaran yang baik bagi merangsang minat dalam kalangan penjawat awam untuk membeli rumah tersebut,” katanya selepas mengadakan program turun padang di rumah pangsa Taman Tampoi Utama, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Bandar Johor Bahru, Abd. Rahman Mohamed Dewam.

Skim PPA1M diperkenal untuk mengga­lakkan penjawat awam di peringkat negeri dan Persekutuan memiliki rumah.

Kadar harga rumah yang ditawarkan bermula daripada RM90,000 sehingga RM300,000 seunit dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.

Halimah berkata, pihak kementerian akan mengadakan pertemuan dengan menteri besar di negeri lain bagi mempromosi skim berkenaan.

Mengenai perlaksanaan di Johor, Halimah berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti dua lokasi bagi pembinaan PPA1M itu yang dijangka dibina dalam kawasan Iskandar Malaysia.

“Kita juga mengalu-alukan neg eri yang diperintah pihak pembangkang untuk menghantar permohonan kerana ini adalah tanggungjawab mutlak kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sumber: Utusan

999 total views, 0 today

Comments Off on Koperasi Digalak Ceburi Sektor Hartanah

Koperasi Digalak Ceburi Sektor Hartanah

| Buletin Hartanah | May 14, 2014

Koperasi Digalak Ceburi Sektor Hartanah

KUANTAN 13 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggalakkan lebih banyak koperasi menceburi pelaburan dalam sektor berimpak tinggi seperti hartanah bagi meningkatkan perolehan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sektor itu dikenal pasti sebagai sektor tambahan yang perlu diceburi jika gerakan koperasi di negara ini mahu mengorak langkah lebih luas di peringkat global.

“Perkara ini sudah sedia termaktub dalam Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020 dan kita bersetuju untuk memberi perhatian kepada lima bidang ekonomi utama dan pelaburan dalam sektor hartanah ini adalah sektor tambahan.

“Melalui pembabitan aktif gerakan koperasi di dalam dan luar negara, kita jangkakan pelaburan sektor ini dapat membawa pulangan sebanyak RM50 bilion menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Perun­dingan Koperasi Kebangsaan di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan nege­ri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Awal bulan ini, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) turut mengumumkan akan memperluaskan asas pendapatannya dengan menceburi sektor pembangunan hartanah melalui anak syarikatnya, MyANGKASA Bina Sdn. Bhd. dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah (KPDAG), Melaka.

Projek pembinaan 41 unit rumah teres setingkat dan enam unit teres dua tingkat dengan nilai pelaburan RM5.6 juta di Masjid Tanah, Melaka itu akan dimulakan September ini.

Hasan berkata, Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd. (KTMSAB) adalah contoh terbaik koperasi yang sudah berjaya dalam pelaburan bidang hartanah di Pulau Pinang de­ngan kira-kira 20 projek perumahan dan hospital.

Sementara itu, beliau berkata, koperasi dianggap sebagai ejen penting kerajaan memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kekeliruan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April tahun depan.

“Sehingga 30 April lalu, seba­nyak 14 siri penerangan sudah diadakan SKM yang dihadiri 1,600 peserta dengan kumpulan sasar terdiri daripada pegawai SKM sendiri sebagai ejen kerajaan dalam memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya.

Sumber: Utusan

903 total views, 0 today

Comments Off on LTH Raih Untung Labur Hartanah UK

LTH Raih Untung Labur Hartanah UK

| Uncategorized | May 10, 2014

 

LTH Raih Untung Labur Hartanah UK

LTH raih untung labur hartanah UK

Kelana Jaya: Lembaga Tabung Haji (LTH) mencatatkan keuntungan pelaburan hartanah di United Kingdom sekitar 9.5 peratus dengan pembelian tiga bangunan di sekitar London dan akan memperluaskan pelaburan di beberapa negara lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Ismee Ismail berkata, kesemua unit bangunan itu sudah diduduki sepenuhnya oleh penyewa dan dua daripadanya terletak di Central London, manakala satu lagi di luar kawasan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan pelaburan hartanah di beberapa negara lain antaranya Australia, Arab Saudi dan beberapa negara lain selepas melihat keuntungan yang diperoleh.

“€œBagaimanapun, hasrat kita untuk melabur di negara luar tidak mengganggu fokus utama pelaburan iaitu di negara sendiri dan ia masih diteruskan.

“€œKita tetap akan meletakkan keutamaan kepada pelaburan hartanah di Malaysia dan dalam masa sama, kita juga melihat peluang-peluang lain di luar negara,” katanya pada majlis pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas Kelab Tabung Haji (TaHa) mencatatkan jumlah keanggotaan paling ramai iaitu sekitar 1.1 juta ahli di sini semalam.

Setakat ini, Ismee berkata, pihaknya sedang memantau pelaburan mereka di United Kingdom dan hasil pulangan keuntungan agak memberangsangkan.

Menurutnya, LTH akan melihat pelbagai peluang lain yang menepati portfolio pelaburannya dan langkah itu diambil untuk meningkatkan pendapatan agensi itu.

Sumber: Metro

1042 total views, 0 today

Comments Off on Wakaf Hartanah Lebih Afdal

Wakaf Hartanah Lebih Afdal

| Buletin Hartanah | May 10, 2014

 

Wakaf Hartanah Lebih Afdal

Wakaf Hartanah Lebih Afdal

Kuala Lumpur: Orang ramai terutama umat Islam digalakkan memilih hartanah sebagai satu langkah menjalankan aktiviti wakaf kerana ia dilihat mampu memberikan manfaat lebih baik kepada masyarakat dan menepati konsep wakaf iaitu memberikan perkara yang paling disayangi buat insan memerlukan.

Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan bagi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Mohamad Azhar Hashim berkata, kebanyakan individu masa kini masih tidak melihat hartanah sebagai perkara yang berpotensi untuk diwakafkan kerana berpendapat ia hanya untuk menjana pendapatan.

“Pada hakikatnya, setiap individu yang memiliki minimum satu unit hartanah juga boleh mewakafkannya bukan saja bagi melakukan amal malah menjana keuntungan peribadi,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Sebagai contoh, individu yang memiliki satu unit rumah sewa boleh menjana pendapatan peribadi dengan dua per tiga daripada jumlah bayaran sewa itu boleh dimiliki manakala satu pertiga lagi akan diwakafkan kepada mereka yang memerlukan melalui khidmat Majlis Agama Negeri.

Beliau berkata, hartanah dilihat sebagai platform wakaf lebih berkesan berbanding dengan harta lain seperti tanah, duit dan makanan kerana ia bersifat kekal dan membolehkan setiap individu menikmati manfaat untuk tempoh jangka panjang.

“Melalui aset hartanah, kita boleh melakukan pelbagai aktiviti yang boleh membantu individu lain seperti rumah yang boleh digunakan bagi menubuhkan rumah kebajikan dan rumah kedai yang boleh digunakan peniaga Muslim untuk berniaga serta menjana pendapatan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan wakaf hartanah pada ketika ini, beliau berkata kesedaran dalam kalangan syarikat dan individu untuk mewakafkan hartanah dilihat semakin baik, namun masih tidak ramai yang sedar akan potensi hartanah memandangkan kurang pengetahuan mengenai konsep wakaf sebenar.

Menurutnya, aktiviti waqaf hartanah secara individu adalah lebih baik berbanding syarikat korporat yang hanya melihat ia sebagai peluang untuk menjana pendapatan.

Bagaimanapun, terdapat segelintir badan korporat yang boleh di puji kerana begitu aktif melaksanakan aktiviti waqaf korporat dan memperkenalkan satu model waqaf korporat di negara ini.

“Saya berharap orang ramai terutama yang mampu supaya mewakafkan hartanah masing-masing kerana wakaf adalah perkara fleksibel dan memudahkan.

Pada masa sama, kita perlu membudayakan wakaf sebagai satu langkah pelaburan bukan saja bagi keuntungan dunia malah sebagai saham di akhirat,” katanya.

Sumber: Metro

970 total views, 0 today

Comments Off on Pasaran Hartanah Catat Penurunan

Pasaran Hartanah Catat Penurunan

| Buletin Hartanah | May 7, 2014

 

Pasaran Hartanah Catat Penurunan

Pasaran hartanah catat penurunan
Kuala Lumpur: Kajian PropertyGuru mendedahkan pasaran hartanah tempatan berhadapan dengan cabaran pada masa ini kerana terdapat penurunan daripada aspek keinginan membeli hartanah daripada semua kategori disumbang daripada kos pemilikan rumah yang melambung tinggi.

Pengurus Negaranya bagi Malaysia Gerard Kho berkata, kepuasan rakyat tempatan terhadap iklim hartanah tempatan menurun daripada 37 peratus pada suku kedua tahun lalu kepada 32 peratus bagi suku keempat tahun sama disumbang melalui harga terlalu mahal, harga tidak munasabah berbanding syarat hartanah dan peningkatan pesat harga hartanah.

Menurutnya, pada masa ini purata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia adalah pada tahap RM5,000, namun penanda aras harga hartanah mampu milik berada
antara RM300,000 hingga RM600,000 disokong faktor lain seperti hutang isi rumah, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), lebihan bekalan dan pembinaan di bawah risiko.

“Kesemua faktor ini membuatkan rakyat Malaysia menghadapi masalah dalam memiliki hartanah sendiri dan ia sering membelenggu setiap keputusan pembelian hartanah masing-masing,” katanya pada majlis taklimat media mengenai jangkaan pasaran hartanah bagi 2014 di sini, semalam.

Beliau berkata, pemaju dan pembeli berpotensi akan menghadapi cabaran lebih besar semasa membeli hartanah kerana kerajaan dan agensi berkaitan sedang melaksanakan langkah yang sejajar dengan keadaan semasa industri hartanah tempatan seperti peningkatan CKHT kepada 30 peratus dan harga rumah RM1 juta kepada pembeli asing pada tahun ini.

Sumber: Metro

1160 total views, 0 today

Comments Off on Hartanah Di Kuala Lumpur Termurah

Hartanah Di Kuala Lumpur Termurah

| Buletin Hartanah | May 5, 2014

 

Hartanah Di Kuala Lumpur Termurah

Hartanah di Kuala Lumpur termurah

KUALA LUMPUR 29 April – Kadar harga hartanah di Kuala Lumpur sehingga hari ini masih termurah berbanding bandar-bandar utama di rantau ASEAN, menjadikannya destinasi paling berkemampuan untuk dimiliki.

Ketua Pengarah Penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan, Datuk Abdul Hamid Abu Bakar berkata, Kuala Lumpur bukan sahaja mempunyai hartanah paling murah, sebaliknya turut mempunyai infrastruktur yang lengkap dan pembangunan yang lebih pesat daripada bandar-bandar ASEAN yang lain.

“Walaupun ramai dalam kalangan rakyat yang merungut harga hartanah terlalu mahal dan tidak berkemampuan di Kuala Lumpur, namun, di sini adalah lebih baik berbanding bandar-bandar besar yang lain di ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Simposium Penyelidikan Hartanah Antarabangsa (IRERS) 2014 di sini hari ini.

Simposium itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi.

Yang turut hadir pada majlis ialah Pengarah Institut Penilaian Negara (Inspen), Datin Faridah Mohammed.

Bagaimanapun, ketika ditanya perbezaan harga di antara bandar raya Kuala Lumpur dengan bandar-bandar raya di ASEAN, beliau memberitahu tidak mempunyai data mengenainya pada ketika itu.

Mengenai transaksi hartanah pada tahun ini, jelas Abdul Hamid, ia bakal menunjukkan penyusutan.

Katanya, situasi itu telah berlaku sejak 2012 berikutan gaya pembeli hartanah yang berjaga-jaga dalam pasaran.

“Situasi begitu amat baik kerana pembeli membeli hartanah masing-masing untuk disimpan atau digunakan, bukan untuk dijual semula.

“Hal ini akan mengurangkan aktiviti spekulator hartanah yang menyebabkan peningkatan harga hartanah secara mendadak,” ujarnya.

Sumber: Utusan

1026 total views, 0 today

Comments Off on Harga Kediaman Stabil

Harga Kediaman Stabil

| Buletin Hartanah | April 25, 2014

 

Harga Kediaman Stabil

harga kediaman stabil

Putrajaya: Pasaran hartanah negara dijangka meningkat dari segi nilai dan stabil segi transaksi pada tahun ini hasil langkah diambil kerajaan untuk mengekang kenaikan harga rumah dalam tempoh 18 bulan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, sebelum pengumuman Bajet 2014 tahun lalu, kerajaan sudah mengambil langkah tertentu bagi memastikan kenaikan harga kediaman tidak meningkat secara mendadak.

“Dalam tempoh 18 bulan ini, beberapa langkah yang diambil memberi kesan positif dalam usaha memastikan harga kediaman yang ditawarkan tidak meningkat dengan ketara.

“Antara usaha kerajaan dalam menangani masalah ini adalah dengan mengehadkan tempoh pembiayaan bagi pembelian kediaman, meningkatkan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) daripada 15 peratus kepada 30 peratus bagi tempoh pegangan tiga tahun pertama serta penghapusan skim insentif oleh pemaju perumahan (DIBS),” katanya selepas merasmikan laporan Pasaran Harta Tanah Malaysia 2013 di Institut Penilaian Negara (INSPEN), semalam.

Menurutnya, tempoh pembiayaan yang lebih pendek iaitu selama 35 tahun berbanding 45 tahun sebelum ini memberi kesan secara langsung kepada harga kediaman yang ditawarkan.

“Usaha ini dilihat dapat membantu mengekang kenaikan harga kediaman dan dalam masa sama dapat mengurangkan kadar keberhutangan isi rumah,” katanya.

Menurutnya, langkah berkenaan juga adalah sebahagian daripada persediaan menghadapi GST yang akan dilaksanakan pada April 2015.

“Aktiviti jual, beli dan sewa kediaman tidak dikenakan GST dan pengguna tidak seharusnya bimbang kesan pelaksanaan GST terhadap harga kediaman,” katanya.

Sumber: Metro

1231 total views, 0 today

Comments Off on Membeli Rumah Sebagai Pelaburan

Membeli Rumah Sebagai Pelaburan

| Buletin Hartanah | April 23, 2014

 

Membeli Rumah Sebagai Pelaburan

Membeli Rumah Sebagai Pelaburan

Pelaburan dalam hartanah merupakan salah satu bentuk pelaburan yang membolehkan anda membina kekayaan, terutama jika rumah yang dibeli itu untuk disewakan atau dijual semula.

Berikut adalah soalan yang perlu ditanya sebelum anda membeli rumah untuk tujuan pelaburan:
• Apakah jenis hartanah yang boleh meningkatkan nilai kewangan anda?
• Berapakah jumlah sewa yang boleh anda peroleh daripada hartanah tersebut?
• Adakah anda mampu mengurus dan menyelenggarakan hartanah bagi tempoh jangka panjang, walaupun aliran tunai anda tidak menentu (terutama apabila tiada penyewa?)
• Oleh sebab hartanah adalah aset bukan mudah cair (tidak mudah untuk dijual), adakah ini mendatangkan masalah kepada anda sekiranya anda memerlukan wang tunai kelak?

Jika anda membeli hartanah dan merancang untuk menjualkannya kemudian, ingat bahawa anda mungkin dikenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (Real Property Gains Tax) ke atas keuntungan bersih daripada penjualan hartanah anda.

pelaburan hartanah

Faktor yang perlu dipertimbang
Terdapat dua faktor yang perlu dipertimbang sebelum membeli rumah, iaitu faktor bukan kewangan dan faktor kewangan.

Faktor bukan kewangan
1) Lokasi hartanah
Anda perlu menentukan di mana anda hendak tinggal dan jenis kejiranan anda. Terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi pilihan lokasi anda. Antaranya ialah:

• Kemudahan asas, seperti kedai, bank, pejabat pos, sekolah, hospital, taman rekreasi dan kawasan kejiranan
• Kemudahan pengangkutan awam
• Jarak dari tempat kerja
• Kesibukan lalu lintas
• Keselamatan

2) Jenis hartanah
Harga rumah bertanah biasanya adalah lebih tinggi, terutama jika ia berhampiran dengan kawasan bandar. Manakala harga rumah bertingkat seperti kondominium dan apartmen biasanya lebih mampu dimiliki. Kebiasaannya nilai pasaran rumah bertanah akan meningkat lebih cepat berbanding dengan rumah bertingkat.

3) Jenis pegangan hak milik
Membeli hartanah pegangan bebas atau dengan hak milik kekal bermakna anda mempunyai hak ke atas tanah tersebut untuk selama-lamanya. Hartanah pegangan pajakan pula bermakna anda hanya memiliki tanah tersebut selama tempoh pajakan, biasanya 99 tahun. Selepas tamat tempoh pajakan, hartanah tersebut hendaklah dipulangkan kepada pihak berkuasa, melainkan tempoh pajakan dilanjutkan dengan membuat bayaran premium. Oleh itu, nilai pasaran hartanah pegangan bebas biasanya lebih tinggi berbanding hartanah pegangan pajakan. Nilai hartanah pegangan pajakan pula biasanya menurun apabila hampir kepada tempoh tamat pajakan.

4) Jenis surat ikatan hak milik
Surat ikatan hak milik membuktikan anda pemilik sebuah hartanah. Anda akan diberikan hak milik individu bagi rumah bertanah, sementara hak milik strata kepada pemilik kondominium atau apartmen. Anda perlu memeriksa sama ada terdapat sebarang halangan atau sekatan ke atas hartanah tersebut kerana ia menjejaskan proses pemindahan hak milik atau penjualan hartanah. Sebaik-baiknya, berbincanglah dengan perunding hartanah, peguam atau dapatkan nasihat daripada pihak yang berpengalaman mengenai pasaran hartanah sebelum anda membayar wang pendahuluan.

5) Reputasi pemaju
Kebanyakan pemaju mengamalkan pendekatan “jual dulu bina kemudian”. Jika anda membeli rumah dalam pembinaan, anda akan mula membayar sebelum rumah anda siap dibina. Oleh itu, anda perlu mengkaji latar belakang pemaju dan rekod prestasi mereka. Anda hendaklah memastikan bahawa pemaju mempunyai lesen sah (belum luput) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Anda boleh melayari laman sesawang KPKT di www.kpkt.gov.my untuk maklumat lanjut.

Anda juga perlu selidik projek lampau pemaju sama ada mereka menunaikan janji atau tidak. Periksa:
• Projek mereka disiapkan mengikut jadual ataupun tidak.
• Kualiti kerja mereka.
• Semua kemudahan disediakan seperti tertera di dalam brosur.
• Sama ada pembeli terdahulu berpuas hati dengan pembelian mereka.
• Jika projek rumah terbengkalai, anda masih bertanggungjawab untuk membayar balik pinjaman kepada institusi kewangan walaupun anda tidak mendapat hartanah tersebut.

Atas sebab inilah, pemaju terkenal yang memiliki rekod prestasi yang baik biasanya meletakkan premium ke atas harga jualan projek hartanah mereka.

Faktor kewangan
Nilai kemampuan anda. Periksa aliran tunai dan nilai harta bersih anda untuk menentukan keselesaan kewangan anda. Kedua-dua penyata ini merupakan kad skor kewangan dan menjadi rujukan ketika membuat keputusan berkaitan wang.

Biasanya terdapat dua persoalan tentang kemampuan yang perlu dipertimbang:
1) Bayaran pendahuluan dan kos berkaitan
Satu anggaran yang baik untuk bayaran pendahuluan sebuah rumah ialah antara 10% hingga 20% daripada harga rumah. Anda harus menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 5% hingga 10% untuk kos sampingan yang berkaitan, terutamanya yuran guaman dan duti setem. 

2) Antara sumber kewangan untuk membayar bayaran pendahuluan dan kos berkaitan termasuk: 
• Tabungan atau pelaburan peribadi
Gunakan tabungan atau pelaburan anda sebanyak mungkin untuk bayaran pendahuluan. Lebih banyak bayaran pendahuluan, maka lebih rendah kos keseluruhan pinjaman anda.

• Akaun simpanan KWSP
Anda boleh mengeluarkan wang Akaun 2 sebagai bayaran pendahuluan. Sila dapatkan maklumat lanjut tentang kelayakan pengeluaran anda daripada pejabat KWSP.

1021 total views, 0 today

Comments Off on Pasaran Hartanah Negara Dijangka Meningkat

Pasaran Hartanah Negara Dijangka Meningkat

| Buletin Hartanah | April 23, 2014

 

Pasaran Hartanah Negara Dijangka Meningkat.

Pasaran hartanah negara dijangka meningkat

BANGI 22 April – Pasaran hartanah negara dijangka meningkat dari segi nilai dan agak stabil dari segi transaksi pada tahun ini berdasarkan jangkaan perkembangan ekonomi antara lima dan 5.5 peratus.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pasaran har­tanah akan meningkat selaras pe­­ningkatan pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, pasaran hartanah pada tahun lalu mencatatkan pertumbuhan sederhana menyaksikan penguncupan 10.9 peratus daripada jumlah transaksi dengan peningkatan kecil sebanyak 6.7 peratus dalam nilai daripada RM142.84 bilion pada 2012 kepada RM152.37 bilion.

Katanya, pasaran hartanah tahun lalu mengalami peningkatan kecil dengan pengurangan bilangan transaksi iaitu 381,130 berbanding 427,520 pada 2012 dengan sub-sektor kediaman terus menerajui aktiviti pasaran iaitu 64.6 peratus, manakala harta kediaman dalam lingkungan harga RM200,000 hingga RM250,000 paling aktif dipindah milik pada kadar 9.7 peratus.

Jelas beliau, kadar faedah yang rendah dengan kadar asas pinjaman (BLR) yang dikekalkan pada kadar 6.53 peratus dan purata wajaran kadar pinjaman (ALR) kepada 5.4 peratus terus menyokong pasaran hartanah domestik.

“Tahun 2013 mencatatkan 246,225 transaksi hartanah kediaman bernilai RM72.06 bilion dan peningkatan dalam nilai sebanyak 6.3 peratus berbanding tahun lalu.

“Sub-sektor terbabit kekal sederhana dengan prestasi jualan sedikit menurun bagi pelancaran baharu tetapi jumlah siap dibina tidak terjual berkurangan, manakala unit mula dibina dan unit siap dibina lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Pasaran Harta 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Penilaian, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Abd. Hamid Abu Bakar.

Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sederhana dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 4.7 peratus pada 2103 selepas mencatat 5.6 peratus pada 2012 dan 5.1 peratus pada 2011.

Ahmad berkata, dengan jangkaan pertumbuhan stabil hingga 5.5 peratus tahun ini, sektor hartanah akan terus menjanjikan prospek lebih cerah dengan kesan berganda.

Sementara itu, beliau berkata, kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap harga jual beli hartanah adalah minimum.

“Indeks Harga Pengguna (CPI) dijangka naik 1.8 peratus apabila GST dilaksanakan kelak, tapi kenaikan tersebut bersifat ‘one off’, selepas itu CPI akan menurun dan perkara ini tidak begitu membimbangkan,” jelasnya.

Sumber: Utusan

881 total views, 0 today

LikeBox

Mudah.my

PropertyGuru.Com

ShoutBox