Welcome, visitor! [ Register | LoginRSS Feed  |   | 

Comments Off on Dua Koperasi Majukan PR1MA

Dua Koperasi Majukan PR1MA

| Uncategorized | July 22, 2014

Dua koperasi majukan PR1MA

JELEBU 21 Julai – Koperasi Setia Sepakat Jelebu Berhad (KSSJB) dengan kerjasama Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB) menandatangani perjanjian projek usahasama untuk membangunkan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA).

Pengarah Operasi Konsortium Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Malaysia Berhad, Zainuddin Mohd. Yatim, berkata, projek PR1MA ini akan dibangunkan di kawasan Gelemi Lemi.

“Ini merupakan kerjasama yang pertama dijayakan oleh dua kumpulan koperasi yang berasingan di sini, ” jelasnya.

“Pembinaan projek perumahan teres satu tingkat ini bergantung kepada kerajaan negeri dan kita berharap agar ia dapat diluluskan secepat mungkin,” jelasnya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Usahasama antara KKSJB dan KPHPB di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Konsortium Pembangunan RMM Malaysia Berhad, Datuk Mohd. Arsad Jaafar dan Pengerusi KSSJB, Kamarudzaman Mohd Thani.

Beliau berkata, tanah pembangunan ini merupakan tanah kerajaan negeri dan keluasan tapak dianggarkan lebih kurang 20 hektar.

“Kita akan menjual rumah ini dalam anggaran RM120,000 hingga RM150,000 seunit berbeza dengan harga pasaran biasa iaitu hampir RM200,000 untuk rumah teres satu tingkat,” katanya.

“Jika dilihat, harga pasaran kita lebih murah berbanding sedia ada iaitu pengurangan sebanyak 30 peratus,” ujarnya.

Tambah Zainuddin, harga istimewa itu boleh dibuat kerana pihaknya mengambil konsep untung sedikit, bilangan yang banyak, di samping tapak itu sendiri merupakan milik kerajaan negeri.

Beliau berkata, pembinaan rumah ini kelak diharap dapat mengutamakan penduduk tempatan memandangkan bilangan rumah ini terhad kira-kira 500 unit sahaja.

Sumber: Utusan

1282 total views, 0 today

Comments Off on PR1MA Perkenal Dua Mekanisme

PR1MA Perkenal Dua Mekanisme

| Buletin Hartanah | June 26, 2014

PR1MA perkenal dua mekanisme

ROMPIN 25 Jun – Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan melaksanakan dua mekanisme baharu yang membolehkan harga rumah di bawah program tersebut dijual tidak melebihi RM100,000.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, mekanisme pertama adalah menerusi pembinaan rumah model baharu yang bersesuaian dengan keperluan golongan muda baharu berkahwin dengan projek perintis bakal dilaksanakan di Teluk Intan, Perak pada tahun ini.

“Rumah PR1MA model baharu ini antara lain mempunyai ciri seperti tapak keluasan tanah 20 kaki x 70 kaki (6 meter x 21 meter) yang kita akan bina dengan sebuah bilik tidur, ruang tamu dan dapur kecil yang boleh diubah suai pada masa depan.

“Bagaimanapun kita membinanya mengikut pelan rumah yang mempunyai tiga bilik bagi membolehkan pembelinya melakukan pengubahsuaian apabila ahli keluarga mereka telah bertambah nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian zakat Kumpulan Teras Dara Konsortium (TDK) di sini hari ini.

Jamaluddin berkata, kajian menunjukkan orang muda atau mereka yang baharu berkahwin tidak memerlukan banyak bilik serta ruang yang besar dalam sesebuah rumah jadi, pihaknya boleh menyediakan rumah itu dengan harga murah.

“Maka kita memperkenalkan model baru ini bagi membolehkan lebih ramai golongan muda memiliki rumah dengan harga yang lebih murah. Mereka boleh ubah suai rumah ini nanti apabila memerlukannya dengan kos ditanggung sendiri pembeli,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mekanisme kedua pula adalah dengan membina rumah PR1MA di atas tanah rizab Melayu yang dapat membantu mengurangkan kos pembinaan rumah sehingga 50 peratus memandangkan harga tanah kategori tersebut adalah lebih murah.

“Ini sekali gus ini mengurangkan lagi harga rumah PR1MA yang dijual kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat Lembaga Pengarah PR1MA sebelum dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau dalam pada itu berkata, setakat ini PR1MA menerima 600,000 permohonan untuk mendapatkan rumah di bawah program itu.

“Sehingga kini pembinaan sebanyak 80,000 rumah PR1MA telah diluluskan daripada 500,000 yang disasar akan dibina dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Sumber: Utusan

989 total views, 0 today

LikeBox

Mudah.my

PropertyGuru.Com

ShoutBox