Welcome, visitor! [ Register | LoginRSS Feed  |   | 

Comments Off

Tanah Terbiar Dimajukan

| Buletin Hartanah | June 16, 2014


Tanah terbiar dimajukan

BERA 15 Jun – Kira-kira 120,000 hektar tanah terbiar di negara ini akan dimajukan menjadi tanah pertanian yang bukan sahaja boleh memberikan manfaat kepada pemilik tanah berkenaan, malah dapat membantu menambah hasil pengeluaran pertanian negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kerajaan atau kementerian berkenaan tidak akan memajukan tanah terbiar berkenaan secara langsung, sebaliknya bertindak sebagai orang tengah yang akan mencari pemaju untuk memajukannya.

Menurutnya, kementerian telah mengenal pasti kawasan tanah terlibat dan proses perbincangan bersama pemilik tanah sedang dijalankan dalam memastikan usaha tersebut berjaya dicapai.

“Kebanyakan tanah yang dikenal pasti adalah milik individu tetapi terbiar begitu saja, jadi apabila kita kenal pasti pemiliknya, kita akan berbincang supaya tanah terbiar berkenaan dapat dimajukan dengan mendapat kebenaran mereka.

“Di Bera misalnya, terdapat kira-kira 1,000 hektar tanah terbiar, jadi saya telah arahkan jabatan berkaitan supaya membersihkan tanah berkenaan terlebih dahulu untuk kita majukan, bila dibersihkan saya percaya pemiliknya pasti akan datang berjumpa kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-73 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bera di Dewan Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Datuk Zainal Dahlan dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Pahang (Pasfa), Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid.

Ismail Sabri berkata, apabila tanah terbiar berkenaan dimajukan, sebuah tabung khas akan diwujudkan bagi mengumpul hasil pendapatan melalui jualan hasil pertanian tanah yang diusahakan tersebut.

“Hasil pendapatan yang dimasukkan di dalam tabung ini kita akan disalurkan kepada pemilik tanah tersebut untuk membantu mereka menjana ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, usaha memajukan tanah itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan negeri jika melibatkan tanah milik kerajaan dan waris-waris tanah bagi tanah milik individu.

Menurutnya, apabila mendapat kebenaran, tanah itu akan diusahakan dengan apa sahaja bentuk tanaman yang boleh menjana hasil dan pendapatan.

“Saya juga mahukan PPK di setiap daerah di negara ini supaya memainkan peranan bagi memastikan usaha untuk memajukan tanah terbiar ini berjaya,” jelasnya.

Sumber: Utusan

757 total views, 2 today

  

Langgan Newsletter RumahN9.Com

widged2

LikeBox

Mudah.my

PropertyGuru.Com

ShoutBox